22 Jun 2010

Peneroka sanggup jual kereta demi projek



KUANTAN – Seorang peneroka Felda Lepar Hilir 4 sanggup menghadapi risiko demi memajukan projek tanaman pisang berangan dan pisang nangka lebih empat hektar dengan menjual keretanya.

Menurut Nordin Ismail, 47, hasil menjual keretanya dengan harga RM7,000, dia bersama rakannya, Shabudin Lah, 43, memulakan projek tanaman kontang sejak lima bulan lalu.

Menurutnya, walaupun kesanggupan berdepan risiko demi projek yang diusahakan di atas tanah rizab paya milik Felda itu, namun dia yakin bahawa pulangan lebih lumayan mampu diperoleh.

“Saya jual kereta kedua saya untuk memulakan projek yang bermodalkan RM10,000 bersama rakan. Saya tidak pernah merasa sangsi terhadap projek ini kerana yakin akan berjaya.

“Pulangan lumayan akan diperoleh selepas tanaman ini mengeluarkan hasil tidak lama lagi. Hasil pertama akan menentukan segala usaha, adakah mencapai matlamat atau sebaliknya,” katanya.

Nordin berkata sebanyak 1,000 pisang berangan dan nangka di tanamnya, malah turut menggunakan ruang secara optimum untuk menanam pisang tanduk, tebu dan serai.

“Anggaran sekali pengeluaran mampu mencecah 1,700 kilogram dengan harga yang dijual kepada pemborong RM1.40 sekilogram. Ia sudah cukup untuk kami berdua.

“Projek ini untuk meningkatkan pendapatan kami selain bertumpu kepada kelapa sawit sahaja. Sekurang-kurangnya masa terluang dan tanah terbiar digunakan untuk tujuan baik,” katanya.

Bagi Shabudin, setiap projek pertanian khususnya tanaman kontang tidak dapat lari daripada masalah haiwan perosak terutamanya babi dan monyet menyebabkan dia dan Nordin terpaksa berjaga malam di pondok yang didirikan di kawasan projek.

Dalam masa sama dua rakan baik itu turut di bantu ahli keluarga dalam merealisasikan hasrat mereka melihat segala usaha untuk berbudi kepada tanah memberi hasil positif.

“Inilah projek pertama kami dan ia dilaksanakan dengan penuh semangat dan keyakinan. Masalah haiwan perosak dapat diatasi dengan baik kerana kami semua berjaga malam.

“Kita lihatlah nanti hasilnya beberapa bulan lagi. Ia menentukan segala usaha kami sejak lima bulan lalu,” katanya. (teks asal)






Tiada ulasan:

Catat Ulasan