02 Jun 2010

Awas kumpulan 'tepuk bahu' di mesin ATM

KUALA TERENGGANU 1 Jun - Penduduk di negeri ini diingatkan berhati-hati dengan taktik kumpulan tertentu yang menepuk bahu pelanggan bank sebelum menipu mereka ketika sedang berurusan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Terbaru, seorang jururawat kehilangan wang tunai RM1,200 bersama kad ATM miliknya selepas ditipu oleh penjenayah berkenaan di sebuah bank di Jertih di sini, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.15 tengah hari semasa mangsa berusia 28 tahun itu sedang berurusan di bank terbabit.

Katanya, ketika menunggu wangnya keluar dari mesin ATM, tiba-tiba bahunya di tepuk seorang lelaki yang turut berbaris di belakangnya.

"Selepas suspek menepuk bahu mangsa dia kemudian memaklumkan bahawa duit mangsa tercicir.

"Mangsa yang tidak sedar dia ditipu lalu tunduk mengambil wang tersebut. Pada masa sama kad mangsa di dalam mesin ATM itu telah diambil dan ditukar oleh suspek.

"Mangsa kemudian mengambil semula kad ATM yang disangka miliknya itu lalu beredar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Azmi, dua hari kemudian, mangsa ke bank yang sama untuk membuat pengeluaran wang namun terkejut apabila mendapati kad tersebut bukan miliknya.

Jelasnya, mangsa yang panik pergi ke kaunter untuk mendapatkan maklumat tentang akaunnya sebelum dimaklumkan wang miliknya telah pun lesap.

Tambahnya, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Jertih kira-kira pukul 7 petang, pada hari sama.

"Menurut maklumat mangsa, sindiket tersebut didalangi oleh dua lelaki berbangsa Melayu.

"Justeru itu, kita masih menunggu maklumat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihak bank berkenaan untuk mengenal pasti suspek tersebut.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada jika didatangi individu terbabit dan melaporkan pada polis dengan segera.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Program desa raya diperkenalkan
MB kecewa bumbung dewan bedah Hospital Setiu masih bocor
Masjid Sultan Ismail zon streamyx
Kelab Usahawan ternak keli
Awas kumpulan 'tepuk bahu' di mesin ATM
Agensi lain diminta bantu PGA, PGM tangani penyeludupan di sempadan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan