16 Jun 2010

Afghanistan ada simpanan galian RM3.2 trilion



GAMBAR menunjukkan bandar Kabul di Afghanistan pada waktu senja semalam.


WASHINGTON - Ahli-ahli geologi Amerika Syarikat (AS) telah menemui sejumlah mineral galian di Afghanistan yang mampu menukar negara yang sedang berperang itu menjadi kaya-raya, kata jurucakap Presiden Afghanistan, Hamid Karzai kelmarin.

Jurucakap itu, Waheed Omar berkata, mineral yang masih belum terusik itu meliputi sejumlah besar emas, besi, tembaga, kobalt dan logam-logam industri penting seperti lithium yang kesemuanya bernilai lebih AS$1 trilion (RM3.2 trilion).

Pakar-pakar dari AS juga percaya penemuan tersebut akan menjadikan Afghanistan sebagai antara pusat pelombongan paling penting di dunia.

Satu memo dalaman Jabatan Pertahanan AS atau lebih dikenali sebagai Pentagon menyatakan Afghanistan boleh menjadi 'lithium Arab Saudi'.

Lithium merupakan logam utama yang digunakan untuk menghasilkan bateri komputer dan telefon bimbit BlackBerry. Pada kebiasaannya ia digunakan di dalam bateri kerana ketahanannya yang boleh menjangkau 15 tahun.

Apabila digabungkan dengan logam-logam lain seperti aluminium dan kadminium, aloi lithium digunakan untuk membuat alat ganti pesawat berprestasi tinggi.

Kadang-kala, lithium juga digunakan sebagai penyejuk di dalam reaktor-reaktor nuklear.

"Wujud potensi yang sangat besar di sini. Sudah pasti akan timbul banyak kemungkinan, tetapi saya fikir potensinya amat signifikan," jelas seorang pegawai tinggi AS di rantau itu, Jeneral David Petraeus.

Logam-logam tersebut dikatakan berada di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan yang merupakan lokasi pertempuran sengit antara pejuang-pejuang Taliban dengan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta lokasi persembunyian pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden.

Maklumat penemuan itu bocor kerana pentadbiran AS dikatakan terdesak untuk memperoleh berita baik ketika usaha ketenteraannya menentang Taliban hanya mencapai kejayaan kecil.

"Logam-logam ini akan menjadi tulang belakang ekonomi Afghanistan," kata penasihat Menteri Perlombongan Afghanistan, Jalil Jumriany.

Namun begitu, para penganalisis bimbang penemuan itu akan mencetuskan keganasan serta perebutan kuasa antara pemerintah di Kabul dengan pemimpin-pemimpin puak di kawasan yang memiliki banyak bahan mineral.

Ia juga boleh menimbulkan ketegangan antara AS yang sudah banyak melabur di Afghanistan dengan China dan Rusia yang mahu berkongsi kekayaan tersebut.

Pada tahun 2001, tentera AS menceroboh Afghanistan dalam misi untuk menangkap Osama dan melumpuhkan pejuang-pejuang Taliban.

Negara itu juga dipenuhi dengan sejumlah askar pengaman antarabangsa termasuk NATO yang turut disertai oleh AS. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan