10 November 2010

Proton Aspira


(Dari kiri) Dr. Mahathir Mohamad, Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh, Mustapa Mohamed dan Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir tertarik dengan model terbaru Proton, Inspira pada majlis pelancaran di Shah Alam, Rabu. - Gambar oleh AP
SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd. (Proton) merancang mengeksport komponen-komponen kenderaan keluarannya termasuk model terbaru, Inspira tahun depan.
Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan beberapa pihak yang turut melibatkan rakan strategik syarikat itu, Mitsubishi Motors Corp. (MMC).
"Kita bercadang supaya MMC juga membeli komponen daripada Proton selain untuk dieksport ke negara-negara lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Inspira di sini, Rabu.
Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh.
Pada masjlis itu juga seramai 11 pemilik pertama model terbaru itu menerima kunci masing-masing.
Sehingga kini, Proton menerima 1,800 tempahan dengan 60 peratus daripadanya bagi model Premium 2.0 liter (L). Kumpulan Proton melancarkan model terbaru, Inspira dengan harga paling rendah dalam pasaran bagi kenderaan kelas itu iaitu RM91,999 bagi model 2.0L CVT MIVEC yang diumumkan oleh Syed Zainal Abidin.
Harga bagi model 1.8L Manual Standard ialah RM79,888 manakala 1.8L CVT Eksekutif pula RM84,000.
Produk terbaru Proton itu didatangkan dengan dua varian enjin itu dilengkapkan dengan enjin berteknologi Mitsubishi Innovative Valve Timing Electronic Control (MIVEC).
Terdahulu, Mohd. Nadzmi berkata, Proton mensasarkan sebanyak 40 peratus kandungan komponen tempatan akan dipasang pada Inspira sehingga akhir tahun ini.
Katanya, jumlah itu akan ditingkatkan dari semasa ke semasa selepas itu dalam usaha memapankan perniagaan, membangunkan kebolehan dan kepakaran jaringan pembekal komponen tempatan.
Dilengkapi dengan CVT (Continuously Variable Transmission) dan mod penukaran gear secara manual enam kelajuan dengan sistem transmisi automatik INVECS-III (Intelligent & Innovative Vehicle Electric Control System).
Bagi model Standard iaitu 1.8L manual ia dilengkapi sistem membrek anti kunci (ABS), Edaran Tenaga Membrek Elektronik (EBD), beg udara berkembar, imobilizer dan sensor undur.
Varian Eksekutif ditambah dengan mod sport tanpa paddle shift sementara model Premium 2.0 liter CVT dilengkapi dengan mod sport, paddle shift, auto cruise, pendingin hawa automatik, sensor automatik lampu dan pengelap cermin, body kit, kemasan kulit dan sistem navigasi.
Bagi pelanggan yang menempah sebelum 15 November, mereka bakal menerima pakej servis istimewa percuma selama dua tahun (50,000 kilometer) termasuk tiada caj upah dan alat ganti percuma bernilai RM1,658.

02 November 2010

Rosmah ‘pemangku Perdana Menteri’ ?


Tue, Nov 2, 2010
rosmah_mansor_02Oleh Nazli Ibrahim
Tindakan Datin Seri Rosmah Mansor mewakili suaminya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri satu acara rasmi dan membacakan teks ucapan Najib menimbulkan persoalan mengenai isu protokol.
Malahan tindakan itu turut memalukan dan menjejaskan kredibiliti jawatan nombor dua kerajaan, Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang sepatutnya memangku tugas-tugas Perdana Menteri ketika ketiadaannya.
Demikian menurut Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Kim ketika dihubungi FMT hari ini.  Beliau turut melahirkan rasa hairan apabila PM dengan sewenang-wenangnya membelakangkan protokol yang sedia ada.
"Saya tak faham mengapa PM boleh membiarkan isterinya yang seolah-olah memangku tugas PM ketika ketiadaannya.  Tidak ada sesiapakah yang boleh menasihati Rosmah dalam hal ini seperti pegawai protokol atau menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri?" soal beliau.
Beliau berpendapat amalan seperti ini bukan sahaja menjatuhkan maruah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai TPM, malah agak memalukan keseluruhan rakyat Malaysia umumnya apabila Rosmah dilihat semakin jauh mencampuri urusan rasmi kerajaan.
"Apa yang dilakukan oleh Najib dan Rosmah ini secara langsung atau tidak langsung, seolah-olah memalu dan menjatuhkan maruah TPM. Bukan TPM sahaja yang mendapat malu, kita rakyat Malaysia turut mendapat malu," ujar beliau.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang turut melahirkan kebimbangan kemungkinan berlaku perbincangan rahsia antara Najib dan Rosmah berhubung rahsia kerajaan.
Bincang rahsia kerajaan suami-isteri
"Saya agak bimbang kalau-kalau PM terlebih dahulu berbincang dengan isterinya tentang dasar-dasar yang ingin kerajaan laksanakan atau pun rahsia lain kerajaan.
"Datuk Seri Najib tentu tahu, rahsia kerajaan bukan untuk dibincangkan suami isteri tetapi perbincangan harus dilakukan dengan Menteri-menteri atau pun di Parlimen.
"Ini amalan yang bahaya apabila membiarkan seseorang yang tidak mempunyai apa-apa jawatan rasmi dalam kerajaan dan kabinet sewenang-wenangnya mempengaruhi keputusan kerajaan.
"Suatu tindakan harus diambil bagi menghentikan amalan yang menakutkan ini terus berlaku," tambah beliau.
Saran Rosmah tanding PRU 13
Beliau menyarankan Rosmah agar turut bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 kelak sekiranya ingin mengambil bahagian secara serius dalam urusan kerajaan.
"Mungkin pada masa itu, kalau dia menang PRU 13 PM boleh lantik dia sebagai TPM menggantikan (Tan Sri) Muhyiddin," kata beliau dengan nada sinis.
Ahad lalu Rosmah berucap mewakili Perdana Menteri dalam satu majlis rasmi, Karnival Deepavali 1 Malaysia di Klang setelah Najib dijangkiti penyakit cacar.
Tindakan tersebut menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan beberapa ahli politik dan pengamal undang-undang terkenal dalam negara ini.
Rosmah kelihatan cenderung untuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan dan membelakangkan Menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam sesuatu perkara.
Antara Kementerian yang pernah dianggap sebagai ‘terganggu’  akibat tabiat Rosmah ini adalah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelancongan Malaysia serta beberapa Kedutaan Malaysia di luar negara.     Continue reading...