25 Jun 2010

Felda sasaran pembangkang



Sebahagian pelajar mengikuti kelas di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, Perak yang menyediakan kemudahan pelajaran untuk anak-anak peneroka. - Gambar hiasan


SEPANJANG minggu ini, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda mendapat liputan meluas khususnya dalam media cetak dan elektronik milik pembangkang mengenai kedudukan tunainya yang menyusut RM2.73 bilion.

Pemimpin pembangkang menyifatkan jumlah yang besar itu menunjukkan bahawa kerajaan kurang arif tentang kebajikan warga Felda. Ada juga akhbar milik pembangkang yang melaporkan perkembangan itu di bawah tajuk berbunyi 'Felda Bankrap'.

Ekoran laporan berkenaan, seorang ahli Parlimen pembangkang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkembangan Felda yang mengalami susut tunai tetapi peningkatan aset.

Berita kedudukan tunai Felda yang menyusut menjadi pemangkin kepada pelbagai isu berhubung Felda dibangkitkan oleh pihak pembangkang seperti pembinaan ibu pejabatnya di premis termahal. Sementara pelaburan Felda pula dianggap sebagai tindakan untuk 'meleburkan' wang Felda.

Perkembangan tersebut mendorong Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah Pas meluahkan hasrat untuk membuat laporan polis.

Begitulah hebatnya asakan dan perhatian yang diberikan media pembangkang kepada Felda beberapa hari kebelakangan ini.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa pula menganggap perkembangan terbaru dalam Felda itu sebagai satu pengkhianatan kepada warga Felda.

Liputan meluas yang diberikan kepada Felda baru-baru ini hanya memberi tumpuan kepada kedudukan tunainya yang merosot.

Kedudukan aset semasa dan aset tetap Felda yang melonjak sebanyak RM6.2 bilion antara 2004 dan 2009 tidak banyak diberi perhatian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia semalam melahirkan rasa kesal dengan laporan yang tidak menyentuh mengenai aset Felda yang meningkat tetapi hanya memainkan isu tunai Felda yang susut.

''Laporan yang menyerang Felda juga tidak menyentuh mengenai pembiayaan RM2.4 bilion untuk pelbagai program pembangunan sosio-ekonomi bagi kepentingan peneroka dan generasi baru mereka. Ini merupakan laporan yang tidak adil.

''Felda adalah usaha pembangunan tanah yang paling berjaya di dunia serta pemilik ladang yang terbesar di dunia. Felda sudah berjaya menghapuskan kemiskinan 112, 635 keluarga dan membantu 1.6 juta generasi baru," katanya.

Sebelum ini, Ahmad pernah memberitahu pemberita di lobi Parlimen bahawa aset Felda berjumlah RM9.17 bilion pada 2004 dan pada tahun lalu ia melonjak kepada RM15.37 bilion.

Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956. Fungsi Felda ialah menjalankan dan melaksana projek pembangunan tanah, memaju serta menguruskan kawasan, melaksana kegiatan memodenkan sektor pertanian dan menyelaras kegiatan sosial dalam kawasan Felda.

Sejak April 2004 Felda diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan seorang menteri yang bertanggungjawab. Ketika mula diletakkan di bawah JPM menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Felda ialah Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Penulis pernah mewawancara Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Nor sempena pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri keenam April tahun lalu.

Bagi Mohd. Yusof, komitmen Najib kepada Felda umpama tanggungjawab dan amanah yang ditunaikan oleh seorang anak kepada ayahnya.

''Dalam kenyataan pertama Najib apabila beliau dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda pada 2004, beliau menyatakan bahawa Felda sudah menjadi darah dagingnya.

''Ini kerana beliau adalah pewaris Allahyarham Tun Razak Hussein yang merupakan pengasas Felda," katanya pada wawancara tersebut.

Bagi Mohd. Yusof, kenyataan berkenaan menggambarkan semangat Allahyarham Tun Razak untuk membangunkan tanah luar bandar mengalir dalam tubuh Najib dan Felda seolah-olah satu kementerian bagi Perdana Menteri.

''Felda macam satu tanggungjawab bagi beliau. Saya tidak tahu apa yang berlaku di antara arwah Tun Abdul Razak dan Najib tetapi cara Najib menjaga Felda umpama Felda merupakan satu amanah yang mesti diteruskan," jelasnya.

Berdasarkan pandangan Mohd. Yusof mengenai komitmen Najib kepada Felda, tidak mungkin Perdana Menteri akan membiarkan nasib para peneroka mahupun generasi muda mereka terbiar dan dikhianati tanpa sebarang pembelaan seperti didakwa oleh pembangkang.

Ada pendapat mengatakan tindakan pembangkang itu merupakan taktik terbaru untuk memburukkan imej Felda dan menanam bibit kebencian di hati warga peneroka.

Ia bertujuan meraih kepentingan politik serta merampas kawasan Felda dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Dakwaan bahawa peneroka sudah dikhianati melalui laporan berat sebelah mengenai Felda itu hanya bertujuan meracuni fikiran warga peneroka supaya mengkhianati Barisan Nasional (BN).

23 Jun 2010

Isu Felda: Laporan polis dibuat terhadap PM

Laporan polis akan dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di seluruh negara berhubung isu kejatuhan rizab tunai Felda yang merosot daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata, laporan polis juga akan dibuat terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan atas perkara yang sama.

Mazlan berkata, ia kerana alasan dalam jawapan Ahmad di Parlimen mengenai sebab kejatuhan rizab tunai Felda itu, tidak masuk akal.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat 16 Jun lalu, Hamim Samuri (BN-Ledang) menyoal timbalan menteri tersebut berhubung status kewangan Felda dan perincian bagaimana wang itu dibelanjakan bagi tujuan pembangunan masyarakat.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahmad yang juga ketua penerangan Umno menjelaskan status kewangan Felda adalah RM4.08 bilion pada 2004, jatuh kepada RM1.35 bilion pada 2009.

Katanya, perbezaan tersebut berlaku kerana ia digunakan untuk tujuan kebajikan - RM2 bilion untuk tanaman semula, RM603 juta untuk pinjaman rumah tanpa faedah, RM253 juta bagi tabung pembasmian kemiskinan Sabah dan RM662 juta untuk pembinaan ibupejabat baru Felda.

"Isu ini sangat besar kerana membabitkan wang rakyat. Ke mana pergi duit itu? Saya mengharapkan siasatan terhadap isu ini dibuat," kata Mazlan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Hari ini, Mazlan bersama empat orang peneroka felda Pahang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada jam 10 pagi tadi, dengan diiringi oleh 30 peneroka Felda.

Laporan polis tersebut ialah mengenai relevannya Felda membiayai dana khas kemiskinan Sabah sedangkan penempatan peneroka di negeri tersebut terlalu kecil.

"Felda Plantation, Estet Felda yang terbesar di Malaysia terletak di Felda Gugusan Sahabat (Sabah). Kenapa tidak digunakan keuntungan dari Felda itu (Plantation),'' laporan polis tersebut dipetik.

Laporan itu juga menyebut, harga bangunan baru Felda setinggi 50 tingkat yang dibina di Platinum Park KLCC yang mencecah RM662 juta, juga dipertikai.

Ia memetik laporan akhbar Berita Harian sisipan khas 26 Februari 2008, yang menyebut bangunan tersebut ialah RM640.77 juta.

"Wang peneroka Felda telah dibazirkan sesuka hati. Adakah betul untuk kepentingan rakyat atau kegiatan politik kerajaan BN kerana Felda adalah talian hayat terakhir mereka," laporan polis itu dipetik.

Laporan polis itu mendakwa, penyelewengan dan salahguna kuasa tersebut membabitkan kepentingan 112,635 openeroka dan 800,000 generasi baru Felda.

Sementara itu, Mazlan berkata, laporan polis yang sama akan dibuat oleh ANAK di Johor Jumaat ini dan diikuti oleh negeri-negeri lain selepas itu. (Teks asal)

22 Jun 2010

Peneroka sanggup jual kereta demi projek



KUANTAN – Seorang peneroka Felda Lepar Hilir 4 sanggup menghadapi risiko demi memajukan projek tanaman pisang berangan dan pisang nangka lebih empat hektar dengan menjual keretanya.

Menurut Nordin Ismail, 47, hasil menjual keretanya dengan harga RM7,000, dia bersama rakannya, Shabudin Lah, 43, memulakan projek tanaman kontang sejak lima bulan lalu.

Menurutnya, walaupun kesanggupan berdepan risiko demi projek yang diusahakan di atas tanah rizab paya milik Felda itu, namun dia yakin bahawa pulangan lebih lumayan mampu diperoleh.

“Saya jual kereta kedua saya untuk memulakan projek yang bermodalkan RM10,000 bersama rakan. Saya tidak pernah merasa sangsi terhadap projek ini kerana yakin akan berjaya.

“Pulangan lumayan akan diperoleh selepas tanaman ini mengeluarkan hasil tidak lama lagi. Hasil pertama akan menentukan segala usaha, adakah mencapai matlamat atau sebaliknya,” katanya.

Nordin berkata sebanyak 1,000 pisang berangan dan nangka di tanamnya, malah turut menggunakan ruang secara optimum untuk menanam pisang tanduk, tebu dan serai.

“Anggaran sekali pengeluaran mampu mencecah 1,700 kilogram dengan harga yang dijual kepada pemborong RM1.40 sekilogram. Ia sudah cukup untuk kami berdua.

“Projek ini untuk meningkatkan pendapatan kami selain bertumpu kepada kelapa sawit sahaja. Sekurang-kurangnya masa terluang dan tanah terbiar digunakan untuk tujuan baik,” katanya.

Bagi Shabudin, setiap projek pertanian khususnya tanaman kontang tidak dapat lari daripada masalah haiwan perosak terutamanya babi dan monyet menyebabkan dia dan Nordin terpaksa berjaga malam di pondok yang didirikan di kawasan projek.

Dalam masa sama dua rakan baik itu turut di bantu ahli keluarga dalam merealisasikan hasrat mereka melihat segala usaha untuk berbudi kepada tanah memberi hasil positif.

“Inilah projek pertama kami dan ia dilaksanakan dengan penuh semangat dan keyakinan. Masalah haiwan perosak dapat diatasi dengan baik kerana kami semua berjaga malam.

“Kita lihatlah nanti hasilnya beberapa bulan lagi. Ia menentukan segala usaha kami sejak lima bulan lalu,” katanya. (teks asal)






20 Jun 2010

Mati pucuk petanda serangan sakit jantung

Mati pucuk (ED) merupakan petanda akan berlakunya serangan sakit jantung, kata Dr Ramesh Singh Veerah dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), ketika membentangkan kertas kerjanya di Kongres Dunia Saintifik Kardiologi di Beijing, China.

Tujuh daripada 10 lelaki yang dirawat di PPUM kerana serangan sakit jantung menghadapi masalah ED, kata Dr Ramesh (kanan).

Masalah ED itu dikesan enam bulan sebelum mereka dimasukkan ke hospital berkenaan, tambahnya.

Dalam kertas kerjanya itu, Dr Ramesh berkata kajian selama setahun itu dijalankan tahun lalu di PPUM, melibatkan 111 lelaki yang aktif seks, yang dirawat kerana serangan sakit jantung. Kajian ini menunjukkan 75.7 peratus mengalami ED.

Selain itu, 24.7 peratus daripada 81 lelaki tidak aktif seks yang tidak dimasukkan dalam kajian tersebut, turut dilaporkan mengalami ED lebih enam bulan sebelum pemeriksaan dijalankan.

"ED dan penyakit arteri koronari (CAD) berkongsi banyak faktor risiko yang sama dan berkaitan rapat. Atherosclerosis - punca penyebab CAD dan ED - adalah merupakan gangguan inflamasi umum yang berlaku pada kadar yang sama di seluruh vaskular tubuh.

"Oleh kerana itu, anggapannya ialah ED harus mendahului CAD memandangkan arteri zakar adalah jauh lebih kecil daripada arteri koronari," tambahnya.

Kajian tersebut, kata Ramesh, menunjukkan bahawa pesakit yang menghadapi masalah ED berpotensi menghadapi risiko yang amat tinggi diserang sakit jantung.

Tanda amaran


Yang menariknya, kajian tersebut juga mendapati semua pesakit yang mempunyai sejarah serangan sakit jantung dan ED, mengalami serangan sakit jantung yang berulang.

"Oleh kerana itu, kita harus skrin dan merawat pesakit sedemikian secara lebih agresif," kata Dr Ramesh.

"Selain itu, lelaki yang tidak aktif seks juga harus diperiksa dengan teliti kerana satu perempat daripada mereka mengalami masalah ED penuh yang memerlukan rawatan dan ini juga boleh menjadi petanda CAD."

Dalam tempoh antara bulan April 2008 hingga bulan Februari 2009, seramai 219 lelaki telah dimasukkan penjagaan koronari PPUM kerana serangan sakit jantung.

Daripada jumlah tersebut, 192 diskrin dan hanya 111 yang aktif seks dalam tempoh enam bulan terakhir, direkrut untuk penilaian ED.

Faktor lain yang dikaji, termasuklah faktor risiko kardiovaskular, ukuran tubuh, ujian darah dan hasil penemuan 'angiographic' koronari.

Kongres di Beijing itu merupakan kongres rasmi Persekutuan Jantung Dunia dan diadakan setiap dua tahun.Ia menjadi pentas antarabangsa mengenai perkembangan terkini dalam bidang berkenaan.

Persekutuan Jantung Dunia ditubuhkan untuk memerangi serangan sakit jantung dan angin ahmar, dengan tumpuan kepada negara-negara yang penduduknya berpendapatan rendah dan sederhana, melalui pengemblengan lebih 200 organisasi di seluruh dunia.

18 Jun 2010

Hak anak-anak Azrinaz kekal


AZRINAZ bersama dua anaknya iaitu Abdul Wakeel dan Ameerah Wardatul, hasil perkahwinan dengan Sultan Brunei.


KUALA LUMPUR - Walaupun sudah bercerai namun hak dan keistimewaan putera dan puteri daripada keturunan diraja Brunei biasanya kekal.

Pakar sejarah, Prof. Datuk Ramlah Adam berkata, selagi tiada titah Sultan Brunei yang mahu melucutkan keistimewaan anakanda baginda, maka ia akan kekal sebagaimana biasa.

Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam itu menegaskan, berdasarkan pengumuman, hanya isteri kedua yang ditarik balik gelaran dan pingat kebesaran, bukan anak-anaknya.

"Ini bermakna anak-anaknya masih menerima keistimewaan sebagai kerabat diraja," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Zaid: Najib perlu lepaskan Felda

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim menuntut supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan cengkamannya ke atas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi membolehkan organisasi itu diuruskan secara telus dan profesional.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu juga menuntut supaya penjelasan lanjut diberikan berhubung kemerosotan jumlah rizab tunai Felda yang menjunam daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada tahun lalu.

Zaid meminta supaya penjelasan lanjut diberikan terhadap jawapan timbalan menteri di jabatan perdana menteri (JPM) Datuk Ahmad Maslan di Dewan Rakyat bahawa jumlah rizab berkenaan susut sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

"(Ahmad Maslan) gagal menjelaskan apa hasil yang boleh diperolehi Felda melalui pelaburannya, sebaliknya menggunakan wang tersebut untuk berbelanja sakan untuk 'tujuan kebajikan', seperti yang ditakrifkan.

"Me

nteri itu sendiri, bukan timbalannya, yang patut memberikan jawapan ini di Parlimen. Akauntabiliti awam adalah paling utama apabila duit pembayar cukai digunakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara yang dibangkitkan oleh Zaid ialah bayaran pendahuluan sebanyak 40 peratus kepada syarikat pemaju Naza TTDI untuk membina ibu pejabat baru lembaga itu, dengan kos keseluruhan RM662 juta.

Sedangkan, kata Zaid lagi, bayaran deposit pada kebiasaannya hanya pada kadar 10 peratus sahaja.

"(Ahm
ad Maslan) juga tidak mendedahkan mengapa harga (RM662 juta) itu sangat tinggi berbanding harga pasaran," katanya lagi.

Tambahnya, Felda juga telah menutup tiga buah syarikat yang dikuasainya - Felda Rubber, Sutera Jaya dan Felda Herbal, dalam tempoh lima tahun lalu.

"Sepatutnya ada penjelasan terperinci mengapa penutupan dibuat, dan sama ada tindakan ini disebabkan salahurus yang lebih teruk," katanya.

Katanya lagi, penjelasan juga perlu dilberikan berhubung perbelanjaan antara RM4 juta sehingga RM5 juta untuk menganjurkan pertandingan futsal dan sokongan kepada Kelab Bolasepak Felda.

"(Se
dangkan), kebanyakan persatuan bolasepak kebangsaan mengurangkan perbelanjaan untuk pasukan mereka, termasuk pasukan yang layak ke Piala Dunia," katannya.

Zaid juga berkata, perbelanjaan sebanyak RM2 bilion untuk program tanaman semula Felda adalah satu jumlah yang terlalu besar bagi program tersebut.

Katanya lagi, kerajaan perlu mendedahkan jumlah peserta rancangan terlibat, keluasan tanah, bayaran sara diri dan pendahuluan pendapatan kepada peserta program berkenaan.

Selain itu, turut dibangkitkannya ialah dana sebanyak RM253 untuk program pembasmian kemiskinan di Sabah.

"Timbalan menteri tidak menjelaskan bagaimana RM253 juta itu disalurkan, atau memperincikan semua penerimanya.

"Adakah wang tersebut disalurkan terus kepada peserta miskin, ataupun disalurkan kepada kerajaan negeri Sabah yang sedang pokai?" soalnya.

Rezeki memikat tekukur



KOMUNITI peminat burung tekukur mudah ditemui di Kelantan.


NEGERI Cik Siti Wan Kembang sememangnya masih tebal dengan amalan dan adat tradisi dalam kalangan masyarakatnya. Selain permainan tradisional seperti dikir barat dan mak yung, warga Kelantan juga terkenal dengan sukan berasaskan haiwan.

Selain pertandingan ayam serama, rakyat di negeri itu juga gemar pada satu lagi aktiviti waktu senggang iaitu memikat burung tekukur. Turut dikenali sebagai merbuk, ia adalah spesies burung yang habitat liarnya di hutan dan pinggir bukit.

Untuk memikat (menjerat atau menangkap) burung ini, seseorang itu perlu mengenal pasti kawasan tempat tinggalnya. Lebih baik jika seseorang yang ingin memikat turut mengetahui kawasan unggas itu suka mencari makanan.

Walau bagaimanapun, kerja memikat burung tekukur ini memerlukan kesabaran yang tinggi dan kadang-kadang terpaksa mengambil masa berhari-hari untuk mendapatkan seekor burung yang digemari. Lazimnya, pilihan itu dibuat berdasarkan pada bunyi kicauan yang merdu.

Muslihat denak

Untuk tujuan memikat tekukur, seseorang pemikat memerlukan seekor denak (umpan burung pemikat yang ditambat) dan jerat dengan menggunakan tali dan dua batang pemacak iaitu unjang yang diperbuat daripada besi tembaga.


ABDULLAH BAKRI JUSOH berjaya menghasilkan anak burung tekukur untuk dijadikan burung denak.


Burung yang berada di atas pokok di sekitar kawasan berhampiran akan terbang mendekati denak yang biasanya dipasang di kawasan lapang. Bunyi kokokan denak sering dianggap sebagai panggilan cabaran untuk bersabung.

"Burung tekukur liar yang tersilap langkah akan memasuki jerat tersebut. Kebiasaannya, ia sudah tidak boleh terlepas lagi dari perangkap itu apabila sebelah kakinya sudah terikat," kata seorang pemikat tekukur, Abdullah Bakri Jusoh, 50.

Abdullah ditemui dalam pertandingan memikat burung tekukur di Gunung, Bachok anjuran Pejabat Kemajuan Masyarakat (Kemas), Bachok baru-baru ini.

Menurut Abdullah, hobinya memikat burung tersebut bermula sejak usia muda lagi. Dia juga pernah menternak sebanyak 200 ekor burung tekukur pada satu-satu masa. Burung-burung tersebut diperoleh dari hutan Kelantan dan Terengganu.

Pendapatan sampingan

Katanya, seekor burung berkenaan mampu mencapai harga antara RM1,000 hingga RM2,000 bergantung kepada kemerduan bunyinya.

"Saya pernah menjual burung itu kepada peminat burung termasuk dari Johor dan Negeri Sembilan," kata Abdullah yang berasal dari Kampung Seri Aman, Pasir Puteh dekat sini.

Rakannya, Abdullah Deraman, 47, pula berkata dia mula memikat burung tekukur sejak tiga tahun lepas sebagai aktiviti mencari pendapatan sampingan.


ILIAS (tengah) menyampaikan hadiah kepada Mohd. Shaharudin Mat Zin (kiri) iaitu juara Pertandingan Memikat Burung Tekukur di Kampung Bukit Kecil Gunung, Bachok, Kelantan.


Sehingga kini, dia yang bekerja sebagai pesawah itu mempunyai 34 ekor burung yang sedia untuk dijual kepada peminat burung. Abdullah meletakkan harga antara RM150 dan RM700 seekor.

Beliau berkata burung-burung berkenaan diperoleh dari hasil usaha memikat di sekitar kawasan pinggir hutan di Bukit Jawa, Kedai Mananti dan Pasir Puteh.

Sementara itu, anggota Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Dr. Ilias Hussin ketika merasmikan pertandingan itu berkata, pertandingan memikat burung boleh dikomersialkan bagi memberi pendapatan tambahan kepada petani.

Pertandingan itu sesuai diadakan pada hujung minggu untuk menarik minat orang ramai termasuk pelancong asing yang menyaksikannya.

Beliau berkata pihak penganjur boleh mengadakan usaha sama dengan pengusaha inap desa yang berdekatan untuk menjadikan pertandingan itu sebagai salah satu produk pelancongan. - Bernama

16 Jun 2010

Kontraktor Stadium Gong Badak, bina istana baru di Putra Jaya




Keselamatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bakal dalam keadaan berbahaya, kata ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming kerana seorang daripada kontraktor yang dipertanggung-jawabkan membina laluan ke istana baru itu adalah kontraktor yang sama membina Stadium Gong Badak di Kuala Terengganu yang runtuh tahun lalu.

Pada kejadian itu, struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang bernilai RM300 juta itu runtuh, kurang setahun selepas siap pada 2008 dan digunakan sempena Sukan Malaysia Ke-12 (Sukma) yang Terengganu menjadi tuan rumah. Ia kini tersadai tanpa sebarang usaha pemulihan.

Syarikat yang dipertanggung-jawab membina laluan dari Jalan Duta ke istana baru itu pada kos RM130 juta adalah kontraktor yang sama membina stadium berkenaan.

Sehubungan itu, Ngar hari ini di lobi parlimen mendesak Kementerian Kerja Raya memberi penjelasan mengapa kontraktor yang mempunyai reputasi buruk dibenar terbabit membina Istana Negara yang bakal menempatkan kediaman Yang Dipertuan Agong.

Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kos pembinaan istana baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat tahun.

Semasa sesi soal-jawab semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng berkata istana tersebut dianggar menelan belanja RM400 juta pada tahun 2006 tetapi kini kosnya meningkat kepada RM811 juta.

Kontrak pembinaan istana itu diberikan kepada tiga syarikat melalui perundingan langsung, dan bukan melalui tender terbuka, kata Yong.

Katanya, kontrak tersebut diberikan melalui cara tersebut kerana Istana Negara adalah "unik" dan memerlukan pertimbangan keselamatan tambahan.

Afghanistan ada simpanan galian RM3.2 trilion



GAMBAR menunjukkan bandar Kabul di Afghanistan pada waktu senja semalam.


WASHINGTON - Ahli-ahli geologi Amerika Syarikat (AS) telah menemui sejumlah mineral galian di Afghanistan yang mampu menukar negara yang sedang berperang itu menjadi kaya-raya, kata jurucakap Presiden Afghanistan, Hamid Karzai kelmarin.

Jurucakap itu, Waheed Omar berkata, mineral yang masih belum terusik itu meliputi sejumlah besar emas, besi, tembaga, kobalt dan logam-logam industri penting seperti lithium yang kesemuanya bernilai lebih AS$1 trilion (RM3.2 trilion).

Pakar-pakar dari AS juga percaya penemuan tersebut akan menjadikan Afghanistan sebagai antara pusat pelombongan paling penting di dunia.

Satu memo dalaman Jabatan Pertahanan AS atau lebih dikenali sebagai Pentagon menyatakan Afghanistan boleh menjadi 'lithium Arab Saudi'.

Lithium merupakan logam utama yang digunakan untuk menghasilkan bateri komputer dan telefon bimbit BlackBerry. Pada kebiasaannya ia digunakan di dalam bateri kerana ketahanannya yang boleh menjangkau 15 tahun.

Apabila digabungkan dengan logam-logam lain seperti aluminium dan kadminium, aloi lithium digunakan untuk membuat alat ganti pesawat berprestasi tinggi.

Kadang-kala, lithium juga digunakan sebagai penyejuk di dalam reaktor-reaktor nuklear.

"Wujud potensi yang sangat besar di sini. Sudah pasti akan timbul banyak kemungkinan, tetapi saya fikir potensinya amat signifikan," jelas seorang pegawai tinggi AS di rantau itu, Jeneral David Petraeus.

Logam-logam tersebut dikatakan berada di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan yang merupakan lokasi pertempuran sengit antara pejuang-pejuang Taliban dengan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta lokasi persembunyian pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden.

Maklumat penemuan itu bocor kerana pentadbiran AS dikatakan terdesak untuk memperoleh berita baik ketika usaha ketenteraannya menentang Taliban hanya mencapai kejayaan kecil.

"Logam-logam ini akan menjadi tulang belakang ekonomi Afghanistan," kata penasihat Menteri Perlombongan Afghanistan, Jalil Jumriany.

Namun begitu, para penganalisis bimbang penemuan itu akan mencetuskan keganasan serta perebutan kuasa antara pemerintah di Kabul dengan pemimpin-pemimpin puak di kawasan yang memiliki banyak bahan mineral.

Ia juga boleh menimbulkan ketegangan antara AS yang sudah banyak melabur di Afghanistan dengan China dan Rusia yang mahu berkongsi kekayaan tersebut.

Pada tahun 2001, tentera AS menceroboh Afghanistan dalam misi untuk menangkap Osama dan melumpuhkan pejuang-pejuang Taliban.

Negara itu juga dipenuhi dengan sejumlah askar pengaman antarabangsa termasuk NATO yang turut disertai oleh AS. - Agensi

03 Jun 2010

Kadar faedah sewa beli kereta naik mulai Isnin

Khamis , 03 Jun 2010

Kenaikan 0.1 peratus kereta nasional, import 0.25 peratus


KADAR faedah pinjaman sewa beli kenderaan akan dinaikkan antara 0.1 peratus dan 0.25 peratus berkuat kuasa Isnin ini sejajar kenaikan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kenaikan itu oleh bank tempatan baru-baru ini.
“Berkuat kuasa 7 Jun, kadar faedah pinjaman sewa beli bagi kereta nasional baru dinaikkan 0.1 peratus, manakala bagi kereta bukan nasional baru pula, dinaikkan pada kadar 0.25 peratus.

“Secara umumnya, bagi pinjaman sewa beli kereta nasional baru bagi tempoh sembilan tahun kadarnya akan dinaikkan kepada 4.1 peratus; tujuh tahun kepada kepada 4.0 peratus dan lima tahun kepada 3.85 peratus.

“Bagi kereta bukan nasional, bagi sewa beli dengan tempoh sembilan tahun, kadarnya dinaikkan kepada 3.85 peratus; tujuh tahun kepada 3.75 peratus dan lima tahun kepada 3.5 peratus,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Bank Negara Malaysia 13 Mei lalu, menaikkan OPR, iaitu penanda aras yang digunakan bank tempatan untuk menentukan kadar faedah masing-masing, sebanyak 0.25 peratus kepada 2.5 peratus dalam usaha menaikkan kembali kadar faedah ke paras wajar selepas penurunan drastik dibuatnya tahun lalu bagi menampan kesan krisis kewangan global.
Aishah menegaskan, kadar faedah pinjaman sewa beli baru itu akan merapatkan jurang antara kadar yang dikenakan ke atas kereta nasional baru dengan kereta bukan keluaran tempatan yang ketika ini adalah lebih rendah.

Beliau turut melahirkan keyakinan kenaikan itu dijangka tidak menjejaskan jualan kenderaan kerana ia adalah kecil.

Justeru, katanya, MAA tidak akan menyemak semula unjuran jualan keseluruhan kenderaan bagi tahun ini sebanyak 550,000 unit.

Tahun lalu, jumlah jualan kenderaan di negara ini adalah sebanyak 536,905 unit.

Jumlah jualan kenderaan dalam tempoh kira-kira lima bulan tahun ini pula adalah lebih 196,000 unit, lebih tinggi berbanding jualan dalam tempoh sama tahun lalu iaitu kira-kira 162,000 unit.

Perkara sama turut dipersetujui firma penyelidikan, HwangDBS Vickers Research Sdn Bhd.

Mengikut firma itu, ia adalah kenaikan kecil dan tidak akan menjejaskan jualan kenderaan.

“Sebagai contoh, bagi pinjaman sewa beli kereta nasional sebanyak RM100,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun, kenaikan itu akan membabitkan bayaran tambahan RM9 sebulan.

“Bagi pinjaman untuk kereta bukan nasional dengan jumlah dan tempoh bayaran balik yang sama, bayaran tambahannya adalah RM20 sebulan,” katanya.

Mengenai kesannya kepada keuntungan bank, HwangDBS berkata, ia akan memberi manfaat kepada bank yang mempunyai pendedahan besar dalam perniagaan sewa beli seperti Public Bank yang menguasai 26 peratus pasaran, AMMB (21 peratus pasaran) dan Maybank (17 peratus pasaran).

02 Jun 2010

Awas kumpulan 'tepuk bahu' di mesin ATM

KUALA TERENGGANU 1 Jun - Penduduk di negeri ini diingatkan berhati-hati dengan taktik kumpulan tertentu yang menepuk bahu pelanggan bank sebelum menipu mereka ketika sedang berurusan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Terbaru, seorang jururawat kehilangan wang tunai RM1,200 bersama kad ATM miliknya selepas ditipu oleh penjenayah berkenaan di sebuah bank di Jertih di sini, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.15 tengah hari semasa mangsa berusia 28 tahun itu sedang berurusan di bank terbabit.

Katanya, ketika menunggu wangnya keluar dari mesin ATM, tiba-tiba bahunya di tepuk seorang lelaki yang turut berbaris di belakangnya.

"Selepas suspek menepuk bahu mangsa dia kemudian memaklumkan bahawa duit mangsa tercicir.

"Mangsa yang tidak sedar dia ditipu lalu tunduk mengambil wang tersebut. Pada masa sama kad mangsa di dalam mesin ATM itu telah diambil dan ditukar oleh suspek.

"Mangsa kemudian mengambil semula kad ATM yang disangka miliknya itu lalu beredar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Azmi, dua hari kemudian, mangsa ke bank yang sama untuk membuat pengeluaran wang namun terkejut apabila mendapati kad tersebut bukan miliknya.

Jelasnya, mangsa yang panik pergi ke kaunter untuk mendapatkan maklumat tentang akaunnya sebelum dimaklumkan wang miliknya telah pun lesap.

Tambahnya, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Jertih kira-kira pukul 7 petang, pada hari sama.

"Menurut maklumat mangsa, sindiket tersebut didalangi oleh dua lelaki berbangsa Melayu.

"Justeru itu, kita masih menunggu maklumat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihak bank berkenaan untuk mengenal pasti suspek tersebut.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada jika didatangi individu terbabit dan melaporkan pada polis dengan segera.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Program desa raya diperkenalkan
MB kecewa bumbung dewan bedah Hospital Setiu masih bocor
Masjid Sultan Ismail zon streamyx
Kelab Usahawan ternak keli
Awas kumpulan 'tepuk bahu' di mesin ATM
Agensi lain diminta bantu PGA, PGM tangani penyeludupan di sempadan