KUANTAN 29 Sept. - Seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini membidas pihak polis berikutan kehilangan kira-kira 40 kilogram dadah jenis syabu daripada ratusan kilogram dadah yang dijadikan bahan bukti dalam satu kes pengedaran dadah terbesar di negara ini.
Kehilangan dadah tersebut dan faktor utama kegagalan pihak pendakwa membuktikan dadah yang dirampas kepunyaan seorang pemandu lori menyebabkan mahkamah membuat keputusan melepas dan membebaskan Lee Yong Toe, 48, daripada tuduhan mengedar 753 kilogram dadah.
Kes rampasan dadah terbesar negara bernilai RM254 juta itu dibawa ke mahkamah selepas polis berjaya menahan sebuah kontena berisi 10 tong mengandungi syabu di Rompin pertengahan tahun lalu.
Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir berkata, perbicaraan kes itu diselubungi kontroversi selepas mahkamah dimaklumkan mengenai laporan palsu yang dibuat oleh pengadu dan salah laku beberapa anggota polis yang menjadi saksi kes.
"Amat mengejutkan apabila mahkamah dimaklumkan beberapa anggota polis terbabit mencuri exhibit (bahan bukti) iaitu dadah yang dirampas.
"Perkara itu diakui sendiri salah seorang saksi pendakwaan terbabit mencuri satu daripada peket dadah. Kiraan kasar dadah yang dicuri itu adalah kira-kira 40 kilogram," katanya.
Malangnya, kata Akhtar, anggota polis yang terbabit mencuri barang kes itu hanya dikenakan tindakan dalam bentuk kenaikan pangkat dan gaji mereka dibekukan.
"Sepatutnya, seseorang yang melakukan kesalahan itu perlu didakwa dan dihukum penjara," jelasnya.
Beliau berkata, pegawai penyiasat kes itu juga seolah-olah 'memandang sebelah mata' dan tidak mahu menambah beban tugasnya biarpun mengetahui kesalahan dilakukan beberapa anggota polis terbabit.
Terdahulu, Akhtar menyatakan, tertuduh dibebaskan tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan selepas pendakwa raya gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu.
Selain itu, katanya, kegagalan pihak pendakwaan memanggil dua saksi penting berhubung kes itu menjadi faktor penentu kepada kes berkenaan.
Yong Toe dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas mengedar 753,359 gram dadah di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin, dekat sini pada pukul 6.45 pagi, 2 Mei tahun lalu.
Lelaki dari Taman Iskandar, Johor Bahru itu didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, kegembiraan tertuduh hanya bertahan kira-kira 15 minit apabila dia ditahan polis sejurus melangkah keluar dari mahkamah.
Difahamkan, penahanan pemandu lori itu dilakukan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985).
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Aripin dan Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk V. Sithambaram dan Bob Arumugam.
Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula bulan lalu.
Memetik laporan akhbar sebelum ini, polis menahan tiga lelaki dan merampas sebuah kontena berisi 10 tong ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat lebih 900 kilogram di sebuah kawasan di Rompin pada 2 Mei 2009.
Bagi membantu siasatan kes rampasan dadah terbesar negara bernilai RM254 juta itu, polis juga dilaporkan menahan seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' berusia 30-an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan