Rombongan agensi kerajaan negeri yang mengiringi Adnan Yaakob meninjau keadaan Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands, Kuala Lipis, baru-baru ini.
KUALA LIPIS 22 Sept. – Penantian rakyat Pahang untuk mengunjungi Cameron Highlands tanpa melalui dua negeri jiran kini berakhir apabila pembinaan jalan ke pusat peranginan itu dari negeri ini siap sepenuhnya sedikit masa lagi.
Kini rakyat negeri ini boleh terus bercuti atau melawat saudara-mara mereka di Cameron Highlands melalui Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands.
Mereka tidak lagi perlu melalui Tapah atau Simpang Pulai, Perak atau melalui Jalan Loging-Gua Musang, Kelantan ke pusat peranginan terkemuka itu.
Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands sepanjang 79.1 kilometer dijangka dibuka tidak lama lagi dapat memendekkan jarak perjalanan sejauh 80 kilometer dari Kuantan.
Laluan tersebut mula dibina pada 1999 dengan perbelanjaan sebanyak RM608 juta.
Sebelum pembinaan jalan baru itu, Cameron Highlands yang terletak dalam negeri Pahang lebih ‘dekat’ dengan penduduk Perak berbanding negerinya sendiri gara-gara kesukaran perhubungan di laluan yang merentasi Banjaran Titiwangsa itu.
Malah penduduk daerah Lipis yang berjiran dengan Cameron Highlands yang merupakan daerah ke-11 di Pahang menjadi terlalu jauh kerana ketiadaan jalan raya yang menghubungi kedua-dua daerah itu sebelum ini.
Akibatnya rakyat Pahang terpaksa berbelanja lebih untuk minyak kenderaan serta tempoh perjalanan yang panjang apabila hendak ke Cameron Highlands.
Dengan keluasan 71,225 hektar, Cameron Highlands merupakan tempat percutian tanah tinggi apabila suhu dingin sekitar 17 darjah Celsius hingga 23 darjah Celsius sepanjang tahun.
Bagaimanapun ada dakwaan mengatakan kesejukan di tanah tinggi tersebut semakin berkurangan akibat penerokaan hutan secara berleluasa.
Sumber pendapatan penduduk Cameron Highlands sebahagian besarnya daripada industri pertanian dan pelancongan.
Jika difikirkan secara mendalam, bergantung kepada hanya satu jalan masuk sahaja tidak praktikal kerana ia tertakluk kepada risiko-risiko terputus hubungan dengan dunia luar seperti tanah runtuh dan sebagainya.
Pembinaan jalan baru yang juga dikenali sebagai Jalan Pos Betau-Lembah Bertam itu dapat mengurangkan risiko terputus hubungan jika hanya menggunakan jalan melalui Tapah yang berliku dan mempunyai banyak selekoh berbahaya pada musim tengkujuh.
Ini memandangkan jalan dari Tapah ke Cameron Highlands terpaksa melalui lereng-lereng bukit yang terdedah kepada bahaya apabila hujan berpanjangan atau cuaca buruk.
Jalan Pos Betau-Lembah Bertam dibina melibatkan empat pakej iaitu Pakej 1A yang meliputi jarak sejauh 19 kilometer dari Sungai Koyan ke Pos Betau.
Jalan itu yang mula dibina pada 1999 telah siap sepenuhnya pada penghujung 2001 dengan menelan belanja RM52 juta.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, pakej kedua iaitu pembinaan jalan itu dari Pos Betau ke Bukit Petubung sejauh 22 kilometer juga telah siap dengan kos sebanyak RM151 juta.
“Jalan pakej kedua ini siap 15 hari lebih awal apabila pembinaannya bermula pada 2002 dan siap pada Jun 2005 manakala pakej ketiga iaitu dari Bukit Petubung ke Sungai Temahang siap pada 2007 dengan kos projek RM232 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Adnan, pakej terakhir yang melibatkan jalan dari Kampung Susu ke Sungai Bertam sepanjang 18.6 kilometer juga telah siap.
Jalan berkenaan yang menelan belanja sebanyak RM173 juta mula dibina pada 2005 dan kini hanya di peringkat penyudah sahaja.
Menurut beliau, jalan baru itu bukan sahaja memendekkan masa perjalanan tetapi turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk sekitar terutama kepada Orang Asli dan peneroka Felda Sungai Koyan.
Katanya, mereka boleh mengusahakan gerai makanan dan kraftangan kepada pelancong yang melalui jalan tersebut di beberapa perhentian rehat dan rawat (R&R) yang akan dibina nanti.
“Masyarakat Orang Asli di Pos Betau dan penempatan yang dibina sepanjang jalan itu bakal menerima perubahan apabila wujud banyak peluang perniagaan yang mampu meningkatkan lagi taraf hidup mereka.
“Kedudukan Pos Betau yang strategik boleh dimajukan sebagai kawasan rehat dan pusat perniagaan bagi membantu Orang Asli untuk memasarkan hasil kraftangan dan hasil dusun seperti buah-buahan dan sebagainya,” kata Adnan.
Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands akan menjadi pilihan rakyat Pahang sebagai jalan pintas untuk ke Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Ia menjimatkan masa hampir dua atau tiga jam berbanding jalan sedia ada melalui Kuala Lumpur atau Genting Highlands yang jauh dan mengambil masa.
Tambah beliau, persekitaran alam semulajadi Pos Betau yang masih terpelihara juga boleh menjadi produk pelancongan kerana mempunyai hutan, sungai dan air terjun yang belum tercemar.
Malah, orang ramai atau pelancong yang melalui jalan tersebut dapat mengenali dengan lebih dekat kehidupan sebenar Orang Asli yang tinggal di sepanjang jalan berkenaan.