KERATAN akhbar isu saman membabitkan ibu bapa dan anak.
KUALA LUMPUR: Kecenderungan ibu bapa menyaman atau disaman anak kini seolah-olah menjadi trend baru dalam masyarakat Melayu hingga mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak kerana menggambarkan kerapuhan institusi kekeluargaan.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata ketika ini lebih 10 kes saman membabitkan kedua-dua pihak dalam proses perbicaraan di mahkamah sivil atau syariah di seluruh negara dan dijangka meningkat pada masa depan.
Kes itu termasuk tuntutan saraan, nafkah serta pembahagian harta dan bukan saja membabitkan ibu bapa menyaman anak, malah orang tua disaman anak.
“Isu saman antara ibu bapa dan anak ini boleh dilihat dari dua sudut. Jika dilihat dari sudut positif, ini menunjukkan ibu bapa atau anak semakin celik undang-undang dan mengetahui hak masing-masing.
“Bagaimanapun dari sudut kekeluargaan, peningkatan kes sebegini menunjukkan keruntuhan institusi itu, sedangkan keharmonian dan kekukuhan ikatan kekeluargaan, terutama dengan ibu bapa, amat dititikberatkan dalam Islam serta budaya Melayu.
“Sebaik-baiknya kedua-dua pihak mencari jalan perdamaian kerana mahkamah bukan tempat utama untuk isu kekeluargaan, ia adalah jalan penyelesaian terakhir,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, seorang bapa Baharom Long, 85, memfailkan saman terhadap tiga anaknya menuntut ganti rugi lebih RM2 juta kerana mendakwa dikurung dan dipaksa menandatangani surat akuan bersumpah berhubung pembahagian dua lot tanah miliknya dan arwah isteri.
Selasa lalu, pesara, Mustafa Ismail, 64, memfailkan saman terhadap anaknya, seorang pengurus syarikat cari gali minyak, menuntut tunggakan nafkah berjumlah RM20,000 untuk dua cucunya.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang sangat bimbang dengan perkembangan yang melanda masyarakat Islam itu, berkata sepatutnya antara ibu bapa dan anak mesti ada sikap kasih sayang serta hormat menghormati seperti dituntut agama.
“Saya cukup bimbang dengan keadaan sekarang... anak derhaka dan biadab terhadap ibu bapa, kes buang bayi... seolah-olah sudah tidak ada lagi kemanusiaan dalam diri manusia.
“Ini akibat kehidupan moden yang tidak bermoral, terlalu mengejar harta sehingga melupakan keluarga atau siapa yang melahirkan kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata pihaknya akan menjalankan kajian dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk menentukan petunjuk bahagia atau sejahtera bagi rakyat Malaysia, termasuk sama ada dinilai dari segi kesihatan, kewangan dan hubungan stabil.
Beliau berkata, kajian itu akan dijalankan tidak lama lagi membabitkan masyarakat semua peringkat umur, latar belakang dan kaum berikutan semakin banyak dakwaan bahawa institusi kekeluargaan kian rapuh dan goyah sehingga menjadi punca peningkatan gejala sosial. ( sumber asal )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan