31 Julai 2010

Koperasi Felda 2 ditubuh


KUALA LUMPUR 30 Julai - Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan Koperasi Permodalan Felda 2 (KPF2) yang dibuka khusus untuk generasi baru Felda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bertujuan membolehkan generasi baru Felda terlibat dalam aktiviti pembangunan dan perniagaan syarikat Felda melalui koperasi.

Beliau berkata, sebelum ini hanya peneroka dan kakitangan yang diberikan peluang itu menerusi penglibatan mereka di dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF).

''Generasi baru Felda pada masa ini tidak dibenarkan menjadi ahli KPF sedangkan jumlah kumpulan tersebut semakin bertambah serta mereka yang berminat untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi semakin meningkat.

''Justeru bagi mengekalkan semangat keluarga Felda dan faedah generasi baru, kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan KPF2 sebagai model pembangunan ekonomi generasi baru,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najib berkata, sebagai permulaan Felda akan menyediakan dana sebanyak RM10 juta dan keahlian dibuka kepada semua generasi baru Felda tidak kira di mana mereka berada.

''Oleh yang demikian saya bagi pihak kerajaan ingin mempelawa semua generasi baru Felda untuk terlibat dengan koperasi ini di samping merebut peluang dalam aktiviti pelaburan yang dijalankan oleh anak-anak syarikat Felda.

''Kerajaan berharap usaha ini akan disambut baik oleh generasi muda Felda dalam usaha memastikan nasib keluarga peneroka seluruh negara terus terbela,'' ujar beliau.

Dalam pada itu katanya, koperasi itu tidak akan menjadi pesaing kepada KPF tetapi ia akan menjadi pelengkap serta menambah rantaian ekonomi sedia ada.

Sementara itu beliau berkata, pada masa ini KPF menguasai 51 peratus pemilikan dalam Felda Holdings dan ahli-ahlinya terdiri daripada warga peneroka.

''Sehingga kini KPF yang telah ditubuhkan 30 tahun lalu berjaya memenuhi hasrat ahli-ahli dan mendapat pulangan memuaskan setiap tahun.

''Dividen yang dibayar KPF setiap tahun secara puratanya 14 peratus dan merupakan satu daripada yang tertinggi di negara ini. Ahlinya berjumlah 189,415 orang dan memiliki pegangan modal saham berjumlah RM1.2 bilion,'' ujarnya.

Bagi mengekalkan dividen sekurang-kurangnya 10 peratus setahun, Perdana Menteri berkata, KPF menetapkan dasar iaitu modal pegangan saham dihadkan tidak melebihi RM1.5 bilion.

( Berita asal )

28 Julai 2010

59 ditahan, sindiket skim cepat kaya terbongkar

KUALA LUMPUR 28 Julai - Polis berjaya membongkar kegiatan satu sindiket penipuan skim cepat kaya selepas menahan 59 orang dan merampas 18 kereta mewah dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Petaling Jaya dekat sini malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ACP Rohaimi Md Isa berkata sindiket yang meminta para pelabur membuat pelaburan sehingga RM41,000 tiap seorang itu dipercayai memperdayakan orang ramai dengan menjadikan tawaran kereta mewah sebagai umpan.

Beliau berkata kegiatan itu terbongkar apabila polis melancarkan “Operasi Serama” yang disertai 82 anggota termasuk JSJK Selangor dan juga petugas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.

Katanya 50 lelaki dan sembilan wanita berumur antara 20 dan 30 tahun yang menduduki tahap higher level atau upline dalam sistem piramid yang dianjurkan itu, ditahan semasa mereka mengadakan perjumpaan di sebuah restoran di apartmen itu.

"Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, polis juga merampas 18 kereta mewah termasuk Mercedez Benz, Fair Lady, BMW dan Mazda yang digunakan untuk ”mengumpan” orang ramai menyertai skim ini,” katanya.

Rohaimi berkata, sindiket yang aktif sejak dua tahun itu mensasarkan orang ramai terutama golongan muda yang baru berkhidmat dalam sektor kerajaan untuk menyertai skim itu.
"Sindiket ini tahu, budak-budak muda ini mempunyai keinginan yang tinggi terhadap kereta-kereta mewah dan senang pula nak buat pinjaman,” katanya.

Menurut beliau modus operandi sindiket ini ialah dengan meminta mereka melabur wang mengikut pelan sehingga maksima RM41,000 dan mencari pelanggan yang dikategorikan sebagai downline bagi mencapai hasrat mereka bergelar jutawan.

Rohaimi berkata bagaimanapun orang ramai menyedari mereka tertipu apabila mereka tidak mendapat jumlah pulangan yang dijanjikan walaupun berjaya mendapatkan jumlah downline yang disasarkan. "Sindiket yang mempunyai tiga kumpulan ini bergerak secara bebas dengan menggunakan restoran-restoran sebagai tempat perjumpaan dan bertemu dengan kumpulan upline bagi membincangkan perniagaan mereka.

"Kami terima dua laporan polis berhubung kes ini manakala kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula terima 30 laporan,” katanya sambil menambah risikan ke atas kegiatan sindiket terbabit dilakukan sejak tiga bulan lepas.

Beliau berkata, kesemua 59 anggota sindiket itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama




17 Julai 2010

Saman anak, ibu bapa makin serius

KERATAN akhbar isu saman membabitkan ibu bapa dan anak.
KERATAN akhbar isu saman membabitkan ibu bapa dan anak.


KUALA LUMPUR: Kecenderungan ibu bapa menyaman atau disaman anak kini seolah-olah menjadi trend baru dalam masyarakat Melayu hingga mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak kerana menggambarkan kerapuhan institusi kekeluargaan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata ketika ini lebih 10 kes saman membabitkan kedua-dua pihak dalam proses perbicaraan di mahkamah sivil atau syariah di seluruh negara dan dijangka meningkat pada masa depan.

Kes itu termasuk tuntutan saraan, nafkah serta pembahagian harta dan bukan saja membabitkan ibu bapa menyaman anak, malah orang tua disaman anak.

“Isu saman antara ibu bapa dan anak ini boleh dilihat dari dua sudut. Jika dilihat dari sudut positif, ini menunjukkan ibu bapa atau anak semakin celik undang-undang dan mengetahui hak masing-masing.

“Bagaimanapun dari sudut kekeluargaan, peningkatan kes sebegini menunjukkan keruntuhan institusi itu, sedangkan keharmonian dan kekukuhan ikatan kekeluargaan, terutama dengan ibu bapa, amat dititikberatkan dalam Islam serta budaya Melayu.

“Sebaik-baiknya kedua-dua pihak mencari jalan perdamaian kerana mahkamah bukan tempat utama untuk isu kekeluargaan, ia adalah jalan penyelesaian terakhir,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, seorang bapa Baharom Long, 85, memfailkan saman terhadap tiga anaknya menuntut ganti rugi lebih RM2 juta kerana mendakwa dikurung dan dipaksa menandatangani surat akuan bersumpah berhubung pembahagian dua lot tanah miliknya dan arwah isteri.

Selasa lalu, pesara, Mustafa Ismail, 64, memfailkan saman terhadap anaknya, seorang pengurus syarikat cari gali minyak, menuntut tunggakan nafkah berjumlah RM20,000 untuk dua cucunya.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang sangat bimbang dengan perkembangan yang melanda masyarakat Islam itu, berkata sepatutnya antara ibu bapa dan anak mesti ada sikap kasih sayang serta hormat menghormati seperti dituntut agama.

“Saya cukup bimbang dengan keadaan sekarang... anak derhaka dan biadab terhadap ibu bapa, kes buang bayi... seolah-olah sudah tidak ada lagi kemanusiaan dalam diri manusia.

“Ini akibat kehidupan moden yang tidak bermoral, terlalu mengejar harta sehingga melupakan keluarga atau siapa yang melahirkan kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata pihaknya akan menjalankan kajian dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk menentukan petunjuk bahagia atau sejahtera bagi rakyat Malaysia, termasuk sama ada dinilai dari segi kesihatan, kewangan dan hubungan stabil.

Beliau berkata, kajian itu akan dijalankan tidak lama lagi membabitkan masyarakat semua peringkat umur, latar belakang dan kaum berikutan semakin banyak dakwaan bahawa institusi kekeluargaan kian rapuh dan goyah sehingga menjadi punca peningkatan gejala sosial. ( sumber asal )

10 Julai 2010

Bank Angkasa Dijangka Beroperasi April 2011


SUNGAI PETANI, 9 Julai (Bernama) -- Bank pertama milik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Islamic Cooperative Bank of Malaysia (ICBM) dijangka beroperasi pada April tahun depan dengan modal dibenarkan RM400 juta.

Yang DiPertua Angkasa Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata pihaknya menunggu kerajaan mengeluarkan lesen berikutan penerimaan pelan terperinci penubuhan ICBM yang dikemukakan.

"Angkasa telah mengadakan perbincangan dengan Bank Pembangunan Islam (IDB) yang berpengakalan di Jeddah dan menawarkan 30 peratus saham atau menjadi rakan kongsi ICBM.

IDB dipilih bagi memudahkan ICBM menembusi negara-negara yang menganggotai Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC)," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Seminar Kepenggunaan Dalam Koperasi di sini Jumaat.

Menurut Dr Mohd Ali, matlamat ICBM antaranya akan menawarkan modal kewangan kepada kira-kira 556 koperasi kredit di seluruh negara yang meminjam dari bank-bank swasta.

"Koperasi-koperasi yang berjaya menyimpan pula di bank-bank ini dan wang tersebut dipinjamkan pula oleh pihak bank kepada koperasi-koperasi kredit. Angkasa tidak boleh biarkan perkara itu terus berlaku," katanya.

Beliau berkata ICBM tidak akan menyaingi koperasi-koperasi sedia ada tetapi memberi fokus pada sektor yang membantu ahli-ahlinya seperti perumahan supaya lepas dari bebanan pinjaman bank yang mengambil tempoh panjang untuk dilunaskan.

Sebagai contoh, kajian Angkasa mendapati satu jumlah pinjaman perumahan ICBM dapat diselesaikan selama 23 tahun lebih kecil jumlahnya berbanding jumlah pinjaman sama oleh bank swasta selama 30 dan jumlahnya lebih besar, katanya.

Dr Mohd Ali berkata penubuhan ICBM bakal memberi manfaat besar kepada lebih 4,200 koperasi dan tujuh juta ahlinya di seluruh negara.

Beliau berkata Angkasa juga sedang berusaha menggerakkan lebih 2,200 kedai koperasi di seluruh negara termasuk di sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti untuk menjadi pembekal barang kepenggunaan.

Menurutnya, cadangan itu akan dapat membantu kerajaan menangani krisis barangan seperti perbuatan menyorok yang menyebabkan kekurangan bekalan dan kenaikkan harga di pasaran.

Seminar dua hari di sini itu, yang dirasmikan Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Cawangan Kedah Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang juga ADUN Guar Chempedak, dihadiri lebih 200 orang mewakili pelbagai koperasi di Kedah.



-- BERNAMA

08 Julai 2010

Malaysia mungkin berdepan kemelesetan ekonomi berganda


KUALA LUMPUR 8 Julai - Malaysia kemungkinan berdepan dengan kemelesetan ekonomi berganda sekiranya keadaan ini berlaku di negara-negara Eropah, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang baru pulang dari lawatan ke England berkata, bahawa terdapat tanda-tanda akan berlakunya kemelesetan ekonomi berganda di negara-negara Eropah dan perkara ini secara tidak lansung akan mempengaruhi keadaan ekonomi negara. "Saya baru balik (dari England). Di Eropah (kemelesetan ekonomi berganda) akan berlaku. Kalau jadi di sana, kita pun mungkin berjangkit jugalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Kontrak antara Iris Corporation Bhd. dan Koperasi Atlet Malaysia Bhd. di sini hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ramai ahli ekonomi dan penganalisis bahawa akan berlaku kemelesetan ekonomi global berganda pada separuh kedua tahun ini dan sama ada ekonomi Malaysia akan menerima nasib yang sama.

Walau pun pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai pelan ekonomi dan langkah-langkah yang progresif termasuk Model Baru Ekonomi (MBE), beliau berkata, adalah sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan kerana apa juga yang berlaku di luar negara, tempiasnya akan terkena juga pada Malaysia.
"Kerajaan telah melakukan pelbagai langkah tetapi kita tak boleh meramalkan (apa yang akan berlaku pada masa akan datang) kerana apa yang berlaku di luar turut mempengaruhi kita," katanya. - Bernama





Firma berkaitan Umno dapat projek Felda ?

Hubungan terus antara projek pembangunan Felda dan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Umno menimbulkan pelbagai soalan berhubung cara projek-projek berkenaan ditawarkan.

Berdasarkan pendedahan oleh ahli jawatankuasa pusat PAS, Datuk Husam Musa di blognya, Selasa lalu, semakan yang dilakukan Malaysiakini mendapati projek berkenaan dianugerahkan kepada firma Arkitek W&W yang dimiliki oleh ahli Umno.

Mereka adalah ADUN Bukit Chandan, Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad dan seorang lagi yang dikenali sebagai Wan Burhanuddin Wan Hassan.

Mengesahkan perkara ini, Husam berkata Wan Burhanuddin adalah ahli Pemuda Umno bahagian Besut.

Beliau dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga seorang pegawai kanan Felda yang juga berasal dari Terengganu.

Antara projek yang diberikan kepada firma berkenaan adalah kawasan perumahan dan komersial di Feldajaya - projek pembangunan bercampur untuk generasi kedua peneroka Felda.

Bagaimanapun menurut Husan, projek Feldajaya itu bukannya sesuatu yang boleh dibanggakan kerana lokasi yang tidak sesuai serta harganya.

Contohnya, di Feldajaya Trolak, satu daripada empat mukim yang disiapkan, sebuah banglo ditawarkan pada harga sekitar RM180, 000.

"Jika anda pergi ke mukim-mukim ini, akan akan lihat ia hanya projek 'gajah putih',” kata Husam.

Projek seumpama itu juga boleh didapati di Chini, Serting dan Mempaga.

Menurut Husam, sehingga hari ini, projek berkenaan menelan kos RM152 juta.

Bagaimanapun dalam ucapannya pada 2006, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu timbalan perdana menteri mengumumkan Felda memperuntukkan RM188 juta bagi pembangunan keempat-empat permukiman baru itu.

Meskipun bayaran untuk firma arkiter itu tidak jelas, Husam berkata jumlah kos bagi semua projek yang W&W terlibat mungkin sehingga setengah bilion ringgit.

Ini termasuk untuk pembinaan MRSM Felda Trolak dan kolej-kolej komuniti di Terengganu dan Sabah, yang katanya dibayar oleh Felda.

Ketika dihubungi, Wan Mohd Khair-il berkata isu yang ditimbulkan oleh Husam adalah isu lama dan firmanya telah beroperasi sejak 1990 dan bukannya syarikat perunding tunggal yang terbabit dengan projek Felda.

[Baca berita penuh]

JERANTUT BAHAGIAN YANG KETANDUSAN PEMIMPIN

Jika tidak YBM Tengku Azlan - siapa yang layak memimpin UMNO Bahagian Jerantut? Ini adalah satu soalan yang wajar semua dalam UMNO fikirkan. Kegagalan memilih pemimpin yang akan mengemudikan Bahagian akan mengakibatkan UMNO Bahagian akan jadi lemah dan tidak dapat berfungsi dengan berkesan.

DUN Damak yang diwakili MCA hampir-hampir tewas dalam PRU12 lalu. DUN Tahan dan Pulau Tawar, bahkan Parlimen Jerantut sendiri hanya menang kecil. Kita menolak isu sokongan rakyat kepada pembangkang sebagai satu gelombang protes terhadap kerajaan secara keseluruhannya, namun UMNO Bahagian sendiri sebagai tunggak kekuatan kerajaan BN di Jerantut masih kelihatan lemah.

UMNO kelihatan ketandusan kepimpinan pelapis untuk diwariskan kepimpinan andainya YBM Tengku Azlan tidak lagi dicalonkan atau menolak pencalonan sebagai Ahli Parlimen Jerantut. Bagi kawasan Parlimen Jerantut, sejak dahulu lagi Katua UMNO Bahagiannya akan dicalonkan sebagai Ahli Parlimen atau sebaliknya Ahli Parlimen akan diberikan mandat mengetuai UMNO Bahagian.

Melihat kedua-dua jawatan ini dari prespektif yang berbeza, adalah lebih mudah menjadi Ahli Parlimen kerana calon berkenaan hanya akan ditagih perkhidmatannya untuk mensejahterakan rakyat yang berbilang kaum dan ideologi politik sedangkan memimpin UMNO Bahagian calon itu harus lebih tegas dan berani menghadapi kerenah tokoh-tokoh politik sekelilingnya yang tentunya lebih mengetahui sesama mereka.

Tidak banyak nama yang dapat diketengahkan sebagai calon sama ada sebagai Ahli Parlimen atau calon bagi menggantikan ADUN-ADUN yang kemungkinan besar akan digantikan nanti. Sebuah laman blog Jerantut (sini) memberikan nama-nama seperti berikut;
1. Dato' Ghazali Sulaiman (Setiausaha UMNO Bahagian)
2.Hj. Nazlan Idris (Ketua Penerangan)
3.Zaharuddin Abdul Rahman (Pemangku Penolong Pengerusi DUN Damak(?))
4.Jalaluddin Hj Ghazali (AJK Bahagian)
5.Dato' Nazri Ngah (Naib Ketua Bahagian)
6.Wan Shamsuri Wan Abd Jalil (AJK Bahagian)
7. Ghazali Hamzah (AJK Bahagian)

Bagaimanapun nama Wan Amizan Wan Abd Razak tidak disebut berikutan desus-desas bahawa pucuk pimpinan sama ada di Bahagian, Negeri dan Pusat tidak lagi tidak lagi menaruh harapan kepada beliau. Beliau juga telah 'dibelasah' teruk dalam Mesyuarat Perwakilan yang baru lalu.

2 pemimpin sayap Puteri dan Wanita tidak harus kita pinggirkan dari senarai diatas. Cik Hartini Abdul Rahman Ketua Puteri dan Puan Norhelan Mahamud Ketua Wanita adalah antara tokoh dalam UMNO Bahagian Jerantut yang menyerlahkan ketokohan masing-masing dengan gerak kerja yang mereka lakukan selama ini. Mungkin antara mereka sesuai untuk dicalonkan bagi mengisi kekosongan DUN yang akan dilepaskan oleh penyandangnya dalam PRU13 nanti.

Jika program serta gerak kerja dan mendekatkan diri dengan masyarakat diutamakan oleh pucuk pimpinan, usaha mereka berdua ini tidak dapat disangsikan lagi menyerlahkan ketokohannya sebagai pemimpin.

Persoalan kepimpinan Bahagian masih belum dapat diselesaikan. Nama-nama tokoh yang disebut diatas tadi masih kelihatan gagal memberikan peranan kepada UMNO Bahagian dan rakyat di Kawasan Parlimen Jerantut dalam menarik hati pengundi. Ketua Bahagian haruslah individu yang jelas perjuangannya dan mampu memperkasakan semula UMNO Bahagian Jerantut, dalam waktu singkat.

Calon itu haruslah seorang yang telah ada banyak pengalaman dan mengenali UMNO hingga ke akar umbi. Saya melihat ada 3 nama yang masih kuat dan mantap untuk diangkat semula kerana pengalaman yang mereka miliki;

Dato' Wan Abu Bakar, bekas Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen. Beliau tewas kepada Hj.
Kamaruzaman Baria dalam pertandingan Ketua UMNO Bahagian Jerantut dan tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen selepas itu.

Hj. Kamaruzaman Baria, bekas Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen. Beliau tidak dicalonkan semula oleh pucuk pimpinan kerana memberi peluang kepada tokoh luar, YMB Tengku Azlan Shah. Pentadbirannya sebenarnya masih belum sampai ke klimak sewaktu beliau disingkir dulu. Beliau dilahirkan di Kuala Lipis

Dato' Azizan Yaakob bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan ADUN Pulau Tawar. Beliau juga disingkirkan sebelum beliau dapat menunjukkan performancenya sebenar. Namun hubungannya dengan masyarakat dan beberapa NGO sangat rapat. Beliau dilihat mendapat sokongan akar umbi kerana sikapnya yang senang didekati.

Secara peribadi saya menyalahkan pucuk pimpinan negeri dan pusat kerana menolak kedua-dua tokoh diatas dalam mainan politik mereka bagi menggantikan dengan tokoh-tokoh yang mereka senangi atau atas alasan-alasan lain.

Kita berharap agar pucuk pimpinan negeri dan pusat lebih memikirkan kekuatan UMNO bahagian lebih utama dari mainan politik mereka dalam mengisi kekosongan kepimpinan bahagian dengan hanya calon yang benar-benar layak bagi memastikan UMNO akan terus dipilih oleh rakyat dalam PRU12 nanti.

Mungkin pada waktu itu Dato' Sri Adnan juga sudah tidak berkuasa untuk memilih kerana beliau juga sudah tidak dipilih lagi memimpin Pahang kerana selama ini hanya menyerlahkan kegagalannya semata-mata.


Sedikit catitan-
Artikel diatas adalah dipetik dari blog Suara Prihatin Umno Jerantut ( SPU ), ianya bukan di tulis oleh pihak peneraju Umno Jerantut sendiri, tetapi oleh pendukung setia perjuangan Umno di Jerantut iaitu sdr Azam. beliau seorang yang gigih didalam usaha menegur kepimpinan Umno Jerantut dengan harapan Umno Jerantut boleh berubah.

Namun perubahan yang diharapkan masih jauh dan sangat gelap...............

Secara peribadi saya sangat kagum dengan pendiriannya walaupun dari segi perjuangan dan kefahaman politik saya berbeda pendapat dengan beliau...........terima kasih sdr Azam kerana sering membaca tulisan saya walau pun saya percaya sdr tidak bersetuju dengan hujah saya.........sekali lagi terima kasih.






04 Julai 2010

KIsah Felda dari blog Mohd. Sayuti Omar ( MSO)

PAGI tadi saya cadang nak 'zoo negara', bukan zoo tetapi Parlimen. Malamnya sudah janji dengan sdr Kamal Amir Kamal Hijaz, bekas ahli jawatnkuasa Biro Antarabangsa Pemuda Umno dan pernah membantu Encik Ibrahim Ali dalam pilihan raya umum lalu di parlimen Pasir Mas. Kamal sanggup turun dari Kuala Lumpur semata-mata untuk berkempen menjamin kemenangan calon berkenaan.

Bagaimana pun janji untuk jumpa Kamal Amir hari ini terbatal apabila ada hal lebih 'auliayat' iaini berjumpa dengan seorang kawan lama. Bukan itu saja kerana ada hajat beradat, maka saya terpaksa ke rumahnya bersama isteri. Kamal pula beriya hendak jumpa, mungkin nak bagi naskah percuma buku barunya - profile perjuangan Tengku Razaleigh Hamzah.

Saya juga tidak sabar untuk membacanya. Apakah pemikiran dan isu yang menjadi fokus penulis kental dan tebal dengan jiwa Melayu ini menerusi buku itu.

Jumpa kawan lama tadi hajatnya sekejap saja. Selepas menyampai segala hajat mahu minta diri dan akan cuba berlari ke Parlimen. Mudah-mudahan Kamal Amir sabar menunggu. Lagipun menjelang jam 11:00 pagi dalam telefon masuk satau SMS memberi tahu yang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan hendak mengadakan sidang akhbar di parlimen jam 3:00 petang.

Disebut dalam SMS itu Ahmad Maslan akan mengumumkan mengenai hasrat Felda nak saman
lidah rasmi parti PKR, Suara Keadilan ekoran akhbar berkenaan menuduh Felda bankrup. Berita mengenai pengumuman Ahmad itu telah pun keluar di beberapa portal dan blog, di mana menurut Ahmad, Felda saman Suara Keadilan dan menuntut bayaran ganti rugi sebanyak RM200 juta. Wau banyak tu...

Mungkin bagi peneroka di Hulu Terengganu ataupun Hulu Pahang, atau Serting Negeri Sembilan merasa gembira mendengar kenyataan Ahmad Maslan itu. Betapa tidak dalam kepala mereka Felda secara atas angin akan menambahkan asetnya sebanyak RM200 juta. Sedikit sebanyak mungkin mereka mengira, wang itu nanti akan menimbus rizab tunai Felda yang dikatakan susut itu?

Biasalah bila lama tak jumpa panjanglah sembang dengan kawan lama tadi. Sebenarnya perkara utama yang hendak dibincangkan tidak sampai pun 10 minit. Tetapi kerana perbualan lain-lain topik dan sub topik memakan masa lebih tiga jam.

Kawan ini seorang ahli perniagaan yang aktif hingga ke peringkat antarabangsa. Dia juga sebagai seorang pemerhati politik. Dia berkawan dengan semua orang, khasnya tokoh-tokoh Umno termasuk beberapa menteri. Jadi banyaklah kepincangan dan penyelewengan yang diketahuinya yang sesetengahnya tidak sampai hati nak disebutkan.

Dari hal mengenai kedudukan kewangan negara yang semakin susut dan menipis sampailah kepada perkara-perkara yang jelek untuk diceritakan. Menurut kawan ini disebabkan berleluasanya rasuah, penyalahgunakan kuasa, menyebabkan negara boleh bankrup. Nasib malang negara ini bukan kerana gimik atau sengaja nak menakut-nakutkan rakyat membolehkan kerajaan mengurangkan subsidi, tetapi menurutnya memang ia satu yang akan menjadi realiti. Malahan dari nada cakapnya dia optimis negara ini akan bankrup.

Beliau lantas memberi contoh dengan apa yang berlaku dalam Felda yang menjadi isu hangat hari ini. Beliau yang juga bekas pegawai Felda tahu benar mengenai salah urus dan tadbir dalam Felda menyebabkan berlaku penyusutan rezeb tunai Felda. "Apa yang dibangkitkan oleh Suara Keadilan itu benar, duit Felda sudah habis," ujarnya.

Kawan itu memberi satu dua contoh bagaimana dua projek Felda yang tidak menguntungkan tetapi dijalankan juga kerana untuk membantu kroni. Satu katanya pembinaan hotel di Bangi di mana bagi kepentingan Felda pembinaan ini langsung tidak ada apa-apa keuntungan. Untuk apa Felda membina hotel, soal beliau marah.

Tetapi katanya kerana atas permintaan Pengerusi Felda, Yusuf Noor kerana inginkan bangunan tertinggi di Bangi berdekatan kediamannya maka pembinaan itu diluluskan. "Untuk apa hotel berkenaan. Pada saya lebih baik ia dibina sekolah Tahfiz Agama untuk anak-anak peneroka," katanya.

Satu lagi projek yang menghabiskan wang institusi itu ialah pembelian ladang lembu di Australia bernilai RM600 juta. Peneroka mungkin seronok bila dibertahu Felda menceburi perniagaan di peringkat antarabangsa. Tetapi mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Mengenai projek ladang lembu ini katanya apa membingungkan Felda telah mengeluarkan wang sebanyak RM600 juta, tetapi saham pemilikkan ladan itu bagi Felda hanya 19 persen sahaja. Ini perniagaan bodoh katanya. Ke mana perginya 81 persen lagi walahualam. Katanya dia memilik dokumen berhubung permbelian ladang berkenaan.

Tamat cerita Felda yang katanya masih banyak yang belum dibongkar, timbul pula cerita bagaiaman seorang menteri yang dipercayai amanah, mempunyai integriti tetapi ikut sama terpalut dalam penyelewengan dan penyalah gunaan kuasa.

Apa yang diceritakan ini dialami sendiri kawan ini. Beliau telah menghantar satu proposal kepada menteri berkenaan untuk memajukan aset milik agensi dibawah pengawasannya. Menteri sebelum ini sudah pun mencadangkan supaya aset berkenaan dibangunkan dan proposal beliau itu diterima. Secara prinsipnya projek itu sudahpun dipersetujui. Kerana berlaku pertukaran jawatan maka ia perlu dirujukkan kepada menteri berkenaan.

Malangnya bila ia dirujuk projek itu dibatalkan. Minit keluluasan asal telah diserahkan kepada menteri itu. Alasannya kerana mesyuarat pembangunan kementerian itu sebelum ini tidak meluluskan projek berkenaan. Ini berdasarkan kepada minit katanya.

Para pegawai dalam satu mesyuarat dengan menteri berkenaan membangkitkan isu projek berkenaan. Mereka menunjukkan yang minit asal diluluskan. Menteri berkenaan katanya terkial-kial untuk menjawabnya dan mencari helah mudah dengan mengatakan setiausaha salah mencatat minit. Namun apabila setiausaha dipanggil barulah terdedah cerita sebenarnya, menteri berkenaan mengarahkan setiausaha mengubah minit berkenaan. Paling menyedihkan lagi katanya menteri itu sudah menerima prosal dari kroninya.

Itu satu kejadian. Ada satu lagi kejadian melibatkan nilai tander satu projek di Kuala Lumpur. Satu kontraktor telah membuat tawaran dengan nilai RM72 juta. Tawaran itu telah diterima. Tetapi apabila sampai ke peringkat menandatangani kontrak berkenaan angka berkenaan didapati berubah menjadi RM92 juta. Kontraktor berkenaan terkejut melihatnya kerana harganya di make-up sebanyak RM20 juta.

Kerana menyedari kekeliruan itu, kontraktor berkenaan bertanyakan kepada menteri berkenaan. Apa jawabnya, menteri berkenana suruh saja tanda tangani, dan memberi tahun RM20 juta adalah atas urusan.

Menyedari bahawa apa yang berlaku itu satu penyelewengan kontraktor berkenaan akhirnya menarik diri kerana tidak mahu terlibat dengan rasuah.

Segala apa yang dicerita kawan itu menggambarkan akan kebobrokan orang berkuasa di negara ini termasuk menteri. Dan paling mengejutkan ia bukan saja berlaku di kalangan menteri yang dikenali tidak berlatar belakangkan pendidikan agama yang mampan tetapi di kalangan mereka yang dianggap sebagai ustaz dan diberi tanggungjawab menjaga harta anak-anak yatim juga. Jadi kata kawan ini di Malaysia ini tidak ada siapa lagi yang boleh diharap dan dipercayai khasnya dalam bidang perdagangan......Baca artikel asal beliau di SINI