Mohamed Hanipa Maidin
Sarjana Perlembagaan menyatakan apabila Mahkamah menafsirkan Perlembagaan seperti menafsirkan surat wasiat ( a will ) , Perlembagaan akan mati. Pada 5/2/2010 yang lalu Perlembagaan Perak boleh dikatakan telah disytiharkan mati apabila 5 orang Hakim Mahkamah Persekutuan menafsirkan Perlembagaan Perak seperti menafsirkan surat wasiat.
Sebagai peguam kepada Nizar yang ada di Mahkamah pada hari itu dan mendengar Hakim membaca keputusan kes Nizar v Zambry ianya sama seperti mana Abdul Wahub mendengar peguam Abdul Wahab dan Abdul Wahib membaca wasiat bapa mereka Ismet Ulam Raja di dalam filem Tiga Abdul arahan Tan Sri P.Ramlee. Abdul Wahib dan Abdul Wahib tanpa segan silu menipu dan membuli Abdul Wahub dengan berselindung di atas kalimah demokrasi terpimpin.
Di dalam penghakimannya Mahkamah Persekutuan menolak hujah peguam Nzar tentang keperluan undi tidak percaya dibuat di dalam sidang DUN Perak bagi menentukan sama ada Nizar benar-benar kehilangan kepercayaan ahli-ahli DUN. Alasan Mahkamah menolak hujah itu amat lucu sekali. Alasannya adalah tiada dinyatakan di dalam Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak bahawa kehilangan kepercayaan ke atas MB mesti dibuat melalui undi tidak percaya.Jawapan mudah kepada alasan itu adalah jika perkataan undi tidak percaya ada di dalam Artikel 16 ( 6 ) itu tidak perlulah Nizar pergi ke Mahkamah untuk meminta Mahkamah menafsirkan Perkara 16 ( 6 ) itu ?
Ya, benar memang tiada di dalam Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak frasa yang menyatakan bahawa kehilangan kepercayaan ke atas MB dibuat mesti dibuat melalui undi tidak percaya di dalam sidang DUN. Tapi bukankah dalam Perlembagaan banyak perkara lain yang juga tidak dinyatakan secara spesifik. Sebagai contoh wujudkah di dalam Perlembagaan Persekutuan mana-mana peruntukkan mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri ( TPM ) ? Jawabnya tidak ada .
Kalau menggunakan logik Mahkamah Persekutuan jawatan yang disandang oleh Muhyiddin sekarang adalah tidak menepati Perlembagaan Persekutuan. Tetapi mengapakah Najib masih melantik Muhyiddin sebagai TPM –jawatan yang tidak wujud dalam Perlembagaan.
Mari kita lihat perkara lain yang juga tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan tetapi diamalkan selama ini di negara ini. Kewujudan pelbagai jawatankuasa di dalam Parlimen dan Kabinet juga tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan. Peruntukkan masa di dalam sidang Parlimen bagi ahli-ahli Parlimen khususnya pembangkang untuk bertanya soalan kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri juga tidak ada di dalam Perlembagaan.
Persoalannya mengapakah dalam keadaan ketiadaan peruntukan khusus tentang perkara –perkara yang saya nyatakan tersebut , negara ini masih mengamalkan dan melaksanakan perkara-perkara tersebut ?
Jawapannya adalah “constitutional convention” ( amalan Perlembagaan ). Amalan Perlembagaan, menurut Sir Ivor Jennings adalah satu daripada sumber Perlembagaan. Amalan Perlembagaan , kata Ivor Jennings adalah “ the flesh which clothe the dry bones of the law” ( adalah daging yang menutupi tulang-tulang kering undang-undang ). Ia adalah sepertimana kata sarjana Perlembagaan “ peraturan yang bukan legal ( sah ) bagi menjadikan peraturan yang sah berfungsi.” ( “ the non legal rules which make the legal rules work.” ). Secara mudahnya amalan Perlembagan adalah menambah apa yang kurang di dalam Perlembagaan.
Jika Mahkamah Persekutuan menolak hujah Nizar bahawa tidak perlu ada undi tidak percaya di dalam sidang DUN bagi menentukan sama ada Nizar masih mendapat kepercayaan di atas alasan peruntukkan mengenai undi tidak percaya tidak ada di dalam Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak maka hujah yang sama juga kita boleh gunakan bahawa tidak ada juga dinyatakan di dalam Perkara 16 ( 6 ) bahawa cara menentukan Nizar hilang kepercayaan perlu dibuat di dalam Istana dengan kehadiran Najib ( yang bukan ADUN Perak ) tanpa kehadiran Nizar sebagai MB yang masih sah ketika itu. Bukankah Perlembagaan Perak menyatakan segala tindakan Sultan adalah atas nasihat seorang MB iaitu pada ketika itu nasihat Nizar wajar diambil terlebih dahulu.kerana beliau masih MB yang sah.
Dalam keadaan kedua-dua cara tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan ( sama ada undi tidak percaya dalam DUN atau dibuat di luar DUN seperti di Istana ) Mahkamah seharusnya melihat kepada amalan Perlembagaan. Sudah tentu amalan Perlembagaan yang boleh dikatakan diterima pakai di dalam semua negara di dunia ini adalah kaedah untuk menentukan seorang MB sudah hilang kepercayaan adalah dengan melalui undi tidak percaya di dalam DUN. Cara tersebut lebih bertamadun dan demokratik.
Satu lagi perkara lucu yang Mahkamah Persekutuan lakukan adalah apabila ia menerima pakai apa yang dikatakan oleh Y.M Raja Azlan Shah J. ( pada masa itu ) di dalam kes Loh Koi Choon v Kerajaan Malaysia bahawa di dalam menafsirkan Perlembagaan Mahkamah tidak perlu melihat atau terikat kepada kes-kes di negara lain seperti kes di India .
Tapi dalam masa yang sama Mahkamah Persekutuan telah merujuk dan menerima pakai satu kes di India iaitu kes Mahabir Chandra Prasad Sharma, petitioner v Prafulla Chandra Ghose and others, Respondents AIR 1960 Cal. 198 bagi menyokong penghakimannya bahawa seorang Gabenor ada kuasa memecat Ketua Menteri.
Yang lucunya bagaimanakah Mahkamah Persekutuan boleh dengan secara cuai mengguna pakai kes India tersebut untuk menyokong hujah bahawa Sultan juga boleh memecat Nizar jika Nizar enggan meletakkan jawatan
Tidakkah Mahkamah sedar bahawa di dalam Perlembagaan India ada peruntukkan yang jelas dan terang bahawa jika seorang Ketua Menteri enggan letak jawatan setelah diarahkan oleh Gabenor, Gabenor mempunyai kuasa untuk memecat Ketua Menteri. Wahai para hakim yang digelar orang bijaksana tunjukkan di dalam Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak peruntukkan yang menyatakan bahawa Sultan ada kuasa memecat Nizar jika Nizar enggan letak jawatan ?
Kalau tidak ada bagaimanakah kamu boleh menggunakan analogi dengan kes di India yang secara jelas mempunyai peruntukkan yang berbeza.
Kalau inilah standard Mahkamah Persekutuan bagaimanakah rakyat boleh menghormati keputusan tersebut ? Masa akan menentukan bagaimana generasi akan datang akan pasti memandang jijik keputusan Mahkamah Persekutuan sepertimana generasi sekarang sedang mula melakukannya
Kes Perak menunjukkan bahawa betapa mudahnya sebuah Kerajaan boleh jatuh tanpa melalui proses yang berlaku di dalam sidang DUN. Di mana Kerajaan itu jatuh bergantung di mana ahli poltik itu bertemu Sultan. Jika dia bertemu Sultan di Istana, Kerajaan itu boleh jatuh di Istana. Jika ia bertemu Sultan di wad hospital di wad hospital itulah kerajaan itu akan jatuh. Begitulah kesan keputusan Mahkamah Persekutuan .
Hari ini Kerajaan Nizar jatuh di istana apabila Najib berjumpa Sultan di Istana . Siapa tahu akan datang Kerajaan Najib pula akan jatuh di padang golf jika ditakdirkan Anwar Ibrahim atau Ustaz Abdul Hadi Awang berjumpa Yang DiPertuan Agung di atas padang golf. Ketika itu Najib hanya boleh perhatikan kerajaannya bergolek sepertimana bergoleknya bola golf masuk ke dalam lubang !!!